|
| 76. |
(Malaikat-malaikat
itu berkata): "Wahai Ibrahim! Janganlah dihiraukan hal ini. Sesungguhnya
telah datang perintah Tuhanmu (menghukum mereka), dan sesungguhnya mereka
akan didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh bantahan atau doa
permohonan)".
|
| 77. |
Dan apabila
datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan
mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya),
sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan".
|
| 78. |
Dan kaumnya
pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya),
sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata:
"Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi
kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah,
dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah
ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi
nasihat)?"
|
| 79. |
Mereka
menjawab: "Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada
sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia
mengetahui akan apa yang kami kehendaki."
|
| 80. |
Nabi Lut
berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat
bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong,
tentulah aku akan membinasakan kamu)".
|
| 81. |
(Mendengarkan
yang demikian tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah
malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali
akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur
dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah
seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya
ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada
mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada
mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?"
|
| 82. |
Maka apabila
datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut
itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami
menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.
|
| 83. |
Batu-batu
itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula
tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.
|
| 84. |
Dan kepada
penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Ia berkata:
"Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi
kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.
Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya
aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang
bersalah).
|
| 85. |
Dan wahai
kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah
kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah
kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.
|
| 86. |
Limpah
kurnia Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil
secara haram itu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah
orang yang menjaga dan mengawas perbuatan kamu".
|
| 87. |
Mereka
berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu
perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek
kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam
menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang
yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh
kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"
|
| 88. |
Nabi Syuaib
berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti
yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai
pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang
aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada
melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan
tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan
Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.
|
| 89. |
Dan wahai
kaumku! Janganlah permusuhan kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa bala
bencana sebagaimana yang telah menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud,
atau kaum Nabi Soleh. Dan kaum Nabi Lut pun tidaklah jauh dari kamu (kamu
sedia mengetahui apa yang telah menimpa mereka).
|
| 90. |
Dan mintalah
ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya
Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih".
|
| 91. |
Mereka
berkata: "Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau
katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam
kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami
telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang
yang dipandang mulia dalam kalangan kami!"
|
| 92. |
Nabi Syuaib
berkata: "Wahai kaumku! (Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum
keluargaku kamu pandang lebih mulia dari pada Allah serta kamu pula jadikan
perintahNya sebagai sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang kamu?
Sesungguhnya Tuhanku Amat Meliputi pengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
|
| 93. |
" Dan wahai
kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang ugama Allah yang aku
sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh
(untuk mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan didatangi
azab yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta. Dan tunggulah,
sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu".
|
| 94. |
Dan ketika
datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib beserta
dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang
zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah
mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.
|
| 95. |
(Mereka
punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah!
kebinasaanlah akhirnya bagi penduduk Madyan, sebagaimana binasanya kaum
Thamud.
|
| 96. |
Dan sesungguhnya
kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami,
dan bukti (mukjizat) yang nyata:
|
| 97. |
Kepada
Firaun dan kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya
itu bukanlah perintah yang betul.
|
| 98. |
Firaun
akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa
mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.
|
| 99. |
Dan mereka
diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari
kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.
|
| 100. |
Yang demikian,
ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah
dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya
ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang
telah hancur lebur (dan hilang lenyap).
|