|
| 51. |
Wahai kaumku!
Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku
sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka
mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?
|
| 52. |
Dan wahai
kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya,
supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu
kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan
seruanku dengan terus melakukan dosa!
|
| 53. |
Mereka
berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan
yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan
tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali
percaya kepadamu!
|
| 54. |
" Kami
hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu
sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami
itu)". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi
tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa
perbuatan syirik kamu -
|
| 55. |
" Menyembah
yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku,
kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan
diri.
|
| 56. |
" Kerana
sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu!
Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan
Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan
yang lurus.
|
| 57. |
Dalam pada
itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal
kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh
Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan
suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan
dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan
Pemulihara tiap-tiap sesuatu."
|
| 58. |
Dan apabila
datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang
beriman, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab
yang keras.
|
| 59. |
Dan itulah
peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka,
serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah
tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.
|
| 60. |
Dan mereka
ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat.
Ketahuilah Sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka
ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud.
|
| 61. |
Dan kepada
kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai
kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain
daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta
menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari
perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid.
Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan
hambaNya".
|
| 62. |
Mereka
menjawab dengan berkata: "Wahai Soleh, sesungguhnya engkau sebelum ini
adalah orang yang diharap dalam kalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah
engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek
kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu
yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya".
|
| 63. |
Nabi Soleh
berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran
yang berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan
rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripadaNya, maka siapakah
yang akan menolongku dari azab Allah kalau aku menderhaka kepadaNya? Oleh
itu, kamu tidak menambah sesuatu kebaikan pun bagiku selain daripada perkara
yang merugikan.
|
| 64. |
" Dan wahai
kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat)
yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di
bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya,
(kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat
masa datangnya".
|
| 65. |
Mereka
kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka:
Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh
yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan".
|
| 66. |
Maka ketika
datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan
rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari
itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
|
| 67. |
Dan orang-orang
yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi,
lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
|
| 68. |
(Mereka
punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah!
Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya
kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.
|
| 69. |
Dan sesungguhnya
telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa
berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Salam
sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)". Nabi Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera
kepada kamu". Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk
mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.
|
| 70. |
Maka apabila
ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik
akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya)
mereka berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami
ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)".
|
| 71. |
Dan isterinya
pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan
takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya
(melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan
sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.
|
| 72. |
Isterinya
berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal
aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini
suatu perkara yang menghairankan".
|
| 73. |
Malaikat-malaikat
itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah
ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah
kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi
Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya".
|
| 74. |
Maka apabila
hilang perasaan takut dari hati Nabi Ibrahim, dan sampai kepadanya berita
yang mengembirakan itu, (mulailah) ia membantah (utusan-utusan) kami tentang
(azab yang akan menimpa) kaum Nabi Lut.
|
| 75. |
Sesungguhnya
Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali
kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.
|