|
| 26. |
"Iaitu
janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika
kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi
sakitnya pada hari pembalasan".
|
| 27. |
Maka berkatalah
ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh)
melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan
yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran
singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang
kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang
pendusta".
|
| 28. |
Nabi Nuh
berkata: "Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari
Tuhanku, serta Ia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian
bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran
kamu yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa
kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?
|
| 29. |
Dan (ketahuilah)
wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai
upah menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan
dari Allah semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman
(sebagaimana yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui
Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing);
tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti
diketahui.
|
| 30. |
Dan lagi
wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau
mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?
|
| 31. |
Dan aku
tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan
tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak
mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap
orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak
akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang
ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya
menjadilah aku dari orang-orang yang zalim".
|
| 32. |
Mereka
berkata: "Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah
kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu
kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada
kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
|
| 33. |
Nabi Nuh
menjawab: "Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azabNya itu
kepada kamu jika Ia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan
kuasa Allah!
|
| 34. |
Dan tidak
ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau
Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan
kamu dan kepadaNya kamu akan kembali".
|
| 35. |
(Mereka
terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja
mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya.
Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: "Kalau aku yang mereka-reka
wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya
aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku".
|
| 36. |
Dan (setelah
itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: "Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman
lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu,
janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.
|
| 37. |
Dan buatlah
bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu
Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk
menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan
(dengan taufan)".
|
| 38. |
Dan Nabi
Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui
tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab:
"Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya
kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan)
ejekan kamu.
|
| 39. |
Maka kamu
akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di
dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat
kelak".
|
| 40. |
(Nabi Nuh
terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka
dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan),
Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap
sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang
telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah
orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut
bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.
|
| 41. |
Dan (ketika
itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah
kamu ke bahtera itu sambil berkata: ' Dengan nama Allah bergerak lajunya
dan berhentinya '. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."
|
| 42. |
(Mereka
semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak
yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya,
yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku,
naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang
yang kafir".
|
| 43. |
Anaknya
menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan
aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak
ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang
yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan
antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang
yang ditenggelamkan oleh taufan.
|
| 44. |
Dan (setelah
binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata:
"Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu".
Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu.
Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan
(kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang
yang zalim".
|
| 45. |
Dan Nabi
Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya
anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar,
dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya".
|
| 46. |
Allah berfirman:
"Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia
telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya
bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu
sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya
Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
|
| 47. |
Nabi Nuh
berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada
memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika
Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya
menjadilah aku dari orang-orang yang rugi".
|
| 48. |
Allah berfirman:
Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami
kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu)
ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya
(dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami
yang tidak terperi sakitnya".
|
| 49. |
(Kisah
Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan
kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya
sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang
membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang
yang bertaqwa.
|
| 50. |
Dan kepada
kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi hud ia berkata: "Wahai kaumku!
Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta
(terhadap Allah).
|