|
| 1. |
Alif, Laam,
Raa'. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh,
kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan
itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
|
| 2. |
(Al-Quran
yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah
sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya
aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang
yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).
|
| 3. |
Dan hendaklah
kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian
hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat
kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu,
dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai
kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu;
dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya
aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).
|
| 4. |
Kepada
Allah jualah kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
|
| 5. |
Ketahuilah!
Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan
(perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah!
Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui
apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya
Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
|
| 6. |
Dan tiadalah
sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah
yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat
ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata
(kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).
|
| 7. |
Dan Dia
lah yang menjadikan langit dan bumi dalam masa 6 hari, sedang "ArasyNya,
berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah
di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau
(wahai Muhammad) berkata: "Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali
sesudah mati" tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: "Ini tidak
lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)".
|
| 8. |
Dan demi
sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga
ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek):
"Apakah yang menghalangnya?" Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada
mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah
mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
|
| 9. |
Dan demi
sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami
kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat
berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.
|
| 10. |
Dan demi
sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita
kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala
kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang
gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).
|
| 11. |
Kecuali
orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan
beroleh keampunan dan pahala yang besar.
|
| 12. |
Jangan-jangan
engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan
kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang
yang ingkar itu berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan
(harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat
(untuk menolongnya menyiarkan Islam)?" Kerana sesungguhnya engkau hanyalah
seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah
jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri
kepadaNya).
|
| 13. |
Bukan itu
sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad)
yang mereka-reka Al-Quran itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika demikian
tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup
memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar".
|
| 14. |
Oleh itu,
jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan
kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah
bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan
bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti
hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?
|
| 15. |
Sesiapa
yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya
(dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka
Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan
sedikitpun padanya.
|
| 16. |
Merekalah
orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada
azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia,
dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.
|
| 17. |
Jika demikian,
adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan
bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan
diikuti oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan - sebagai saksi dari
pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan
yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat
(kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui - menerima
Al-Quran; dan sesiapa ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum
kafir, maka nerakalah dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu, janganlah
engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana
sesungguhnya Al-Quran itu adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi
kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.
|
| 18. |
Dan tidak
ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara
dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap
Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat,
Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): "Inilah orang-orang
yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka". Ketahuilah (sesungguhnya)
laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!
|
| 19. |
Orang-orang
yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan
berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula
ingkarkan hari akhirat;
|
| 20. |
Mereka
itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka
dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah,
sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk
mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama Allah),
sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda
kebenarannya.
|
| 21. |
Merekalah
orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan hilang lenyaplah dari mereka
apa yang mereka ada-adakan.
|
| 22. |
Tidak syak
lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat
kelak.
|
| 23. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk
taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah
ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.
|
| 24. |
Bandingan
dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang
buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan
itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka
tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?
|
| 25. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu ia memberitahu kaumnya dengan
berkata: "Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata
kepada kamu.
|